Hanya kepadaMu aku Berlindung
Hanya kepadaMu aku Bermunajat
Hanya kepadaMu aku Berserah
Aku masih ingat sejelasnya
betapa hebat pancaran sinar mata tatkala kau berada di buai lengan ibu
panggilan keramat itu kubisikkan ke telinga membenarkan dan menetapkan agamamu
dan kugunting tali pusat itu yang berwarna putih sesuci hatimu
maka terpisahlah jasadmu dari ibumu selepas sembilan bulan kau bersamanya
Sebak dadaku besar hatiku
kehadiranmu bukti fakta nyata keagunganNya
kau yang sabar kutunggu kugendong bangga
mahuku teriak ke seluruh ruang angkasa bahawa kau telah tiba
dirimu itu sangat kecil tiada kuat hatta ketibaanmu itu juga hadir bogel
raut wajahmu tenang sekudus hatimu bersama kesucian mulus kulitmu
rambutmu yang halus itu amat sedikit tidak panjang dan jarang-jarang
kuperhati jari jemari kaki dan tanganmu yang kecil kerdil satu persatu
lirikan matamu tajam tiada takut tiada gentar dan amat berani
memerhatikan sekeliling ruang bedah itu ketika sebuah alam baru menanti dirimu
Anakku
kau yang pertamanya hadir menjadi harapan besar buat diriku
kau yang akan menjadi penggantiku saat tiadanya jasadku
kau yang akan menyambung nama, ketatapan dan kepercayaanku
begitulah juga nanti anakmu membawamu dan seterusnya sampai akhirnya nanti
kau yang akan menjaga ibumu
kau yang akan memelihara keluargamu
kau yang akan memperjuangkan agamamu
Anakku
taatilah ibumu dan laksanakanlah perintahnya
kerana keagungan dan ketinggian belas kasihnya
tiada mungkin dapat kau balas dan kau erti
segala jasa, masa dan tenaga yang dicurahkan
belum tentu kau itu mampu berbuat yang sama
sebelum adanya dirimu dan ketika wujudnya dirimu
tatkala lahirnya dirimu hinggalah sampai entah bila
ketahuilah sewaktu kecilmu
seperti juga kebiasaan lumrah yang namanya bayi itu
mahu susu juga menangis selepas diberi susu juga menangis
ketika bangun juga menangis mengantuk juga menangis
masa dimandikan dan dibersihkan juga menangis
dipakaikan baju dan diwangikan juga menangis
apa yang kau dimahukan juga kau menangis
tidak kira masa dan ketika tiada peduli tempat juga di mana
namun ibumu sangat setia dan patuhnya dia
melayan segala kemahuan, keperluan dan karenahmu
tanpa rasa keluh, penat, rimas atau kecewa
dan kadangkala agak ganas juga kau itu
cengkaman kukumu menerbitkan garis halus pada wajah ibumu
gigitan buasmu menerbitkan parut kecil dibahu ibumu
tapi ibumu gembira sahaja melihat dirimu
dia selalu tersenyum bangga melihat pencapaianmu
walau apa jua yang kau lakukan
menjadi pentas orkestra hiburan pada hatinya
kutahu amat besar harapannya padamu
janganlah sesekali kau itu dengan sengaja atau melalui alpa
mengingkari menghancur hatinya
dengan kedegilan keteguhan kepercayaanmu
yang belum pasti kebenarannya
dan untuk ibumu itu amat tidak perlu anakku
laksanakanlah sahaja walau tidak mungkin hati dan akalmu menerima
usah kau meragui atau mempertikai kata ibumu
menapaklah dengan teguh yakin mengikut nasihatnya
kerana tidak akan kau merugi walau apa pun
yang hakikat sebenarnya syurga pulangannya
dan kutahu bukan senang mudah seperti yang dikata
tapi laksanakanlah sahaja tanpa curiga
Anakku,
kerahkanlah segala apa yang ada padamu dan hargailah masa itu
kerana pada yang namanya masa itu terdapat sebuah rahsia besar
jika dimanfaatkan dan digunakan sebaiknya
kau akan beroleh keberuntungan
tuntutlah dari setiap ruang gedung ilmu itu
dengan ketajaman itu maka kau akan terpelihara
dengan rahmat itu akan kau punya darjat berbeza
di setiap akal-akal itu terdapat batasannya yang amat jelas
namun jika disatukan kekuatan fikiranmu itu dengan pegangan agamamu
maka akan terbitlah apa yang dinamakan insan dalam dirimu
yang akan membawa kebenaran dan kebaikan
juga menjahanamkan kemungkaran
muliakanlah peribadimu dan ketahuilah pada akalmu
akan ada perkara yang pada fikiranmu esok tidak dapat menerima
ketika kau bertemu dengan perkara itu
bukalah hatimu redhakanlah qada dan qadar itu
carilah cerah terang perkara itu
kerana setiap yang berlaku itu ada sebaliknya
yang tersirat tersimpul seolah mustahil dirungkai persoalan itu
namun kejayaan terang menantimu sekiranya kau berfikir
Anakku
di saat kau rasa jatuh hiba, hilang semua, tiada berguna
di waktu kau rasa usaha sia-sia tiada siapa-siapa
janganlah kau mengalah dan usahlah kau berhenti
teguhkanlah hatimu gerakkanlah akalmu dan mohonlah pada Tuhanmu
di setiap terlaksana sesuatu kejadian
adalah sebuah peluang juga sebuah latihan
yang akan membezakan ketetapan agama dan ketinggian fikiranmu
mengawal perasaan juga mengekang nafsu yang amat hebat dugaannya
menjadi bukti selama usia kematangan pengalamanmu
bawalah seluruh ahli keluargamu bersama
pimpinlah dengan kuat erat sesama kamu
taruhkanlah seluruh jiwa dan ragamu
jangan dibiar ada ruang walau seinci renggang
gagahkanlah ukhuwah itu dan lindunglah ia sebaiknya
dari sebarang ancaman kelemahan dan kerosakkan
jangan ada sebarang sangsi antara kamu
bersangka baiklah sesama kamu
sentiasa bersama berpadu ilmu
yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu
terimalah dan bersyukur di atas setiap kelebihan dan kekurangan
dan itulah yang terakhirnya selepas sudah kau berusaha
Anakku
ketahuilah olehmu bahawa dunia ini bukan segalanya
akan ada pastinya kehidupan itu selepas jasadmu tiada
segala yang kau lihat dan kau rasa di alam kini tidak kekal sifatnya
kesedihan dan kegembiraan itu sementara sifatnya
tetapkanlah agamamu, luruskanlah pemikiranmu dan teguhkanlah kepercayaanmu
janganlah kau ikut rasa hatimu tanpa tapisan akalmu
kerana akal itu adalah sebaik-sebaik anugerah hidupmu
manfaatkanlah ia dengan setiap keputusan yang jitu
gagahkanlah setiap langkahmu untuk membenarkan setiap yang hak
janganlah kau takut gentar kerana agama dan Tuhanmu ada bersamamu
dan tiada yang lebih baik daripada itu
Anakku
janganlah sesekali kau menzalimi yang mengasihanimu
malulah kau pada Tuhamu, ibubapamu, keluargamu dan bangsamu
sekiranya terbit walau sebesar zarah niat pesong di hatimu
sucikanlah pada setiap niatmu, hatimu dan gerak tubuhmu
kerana akan terbit implikasinya, akibatnya, tanggungannya
yang akan terlaksana di sini atau di sana atau di kedua-duanya
yang pasti akan tiba balasannya dan hanya masa menjadi penentu
Anakku
pesanku ini hanya sekadar pesan
tulisanku ini hanya sekadar tulisan
harapanku ini hanya sekadar harapan
moga kau menjadi insan hambaNya
moga kau beroleh segala kejayaan
moga kau mentaksir segala ilmu
moga kau mencapai semua cita-cita
moga kau dirahmati seumur hidupmu
moga kau diberi belas ketika matimu
moga kau diluaskan kuburmu
moga kita bersua kembali di kemudian hari
berbahagia bersama di dalam syurga Ilahi....
No comments:
Post a Comment