Monday, 13 August 2012

Aku Anak Melayu

Melayu


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan. Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka


Usman Awang
12 July 1929, Kuala Sedili, Johore - 29 November 2001, Kuala Lumpur

Perjuangan Yang Belum Selesai


Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah.
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina.
Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan.
Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan.
Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita.
Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemerdekaan
rupanya lebih sukar dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya.
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri.
Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara.
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara
malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan
sayap, menjadi pedagang dan peniaga
selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
samudera menjajah dunia yang tak dikenal?
Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal erti takut
dan kematian?
Di manakah silapnya hingga bangsaku
berasa begitu kecil dan rendah diri?
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan
silam dan sejarah gemilang membina empayar…
Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati.
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya.
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa.
Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya.
Dr. Mahathir Mohamad
Mei 1996

Melayu Mudah Lupa


Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...

Dr. Mahathir Mohamad
23hb Jun 2001

Warisan


Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Bangunlah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di Nusantara 

Monday, 6 August 2012

Johan Malik Jibril dan seluruh adindanya

Hanya kepadaMu aku Berlindung
Hanya kepadaMu aku Bermunajat
Hanya kepadaMu aku Berserah

Aku masih ingat sejelasnya
betapa hebat pancaran sinar mata tatkala kau berada di buai lengan ibu
panggilan keramat itu kubisikkan ke telinga membenarkan dan menetapkan agamamu
dan kugunting tali pusat itu yang berwarna putih sesuci hatimu
maka terpisahlah jasadmu dari ibumu selepas sembilan bulan kau bersamanya

Sebak dadaku besar hatiku
kehadiranmu bukti fakta nyata keagunganNya
kau yang sabar kutunggu kugendong bangga
mahuku teriak ke seluruh ruang angkasa bahawa kau telah tiba
dirimu itu sangat kecil tiada kuat hatta ketibaanmu itu juga hadir bogel
raut wajahmu tenang sekudus hatimu bersama kesucian mulus kulitmu
rambutmu yang halus itu amat sedikit tidak panjang dan jarang-jarang
kuperhati jari jemari kaki dan tanganmu yang kecil kerdil satu persatu
lirikan matamu tajam tiada takut tiada gentar dan amat berani
memerhatikan sekeliling ruang bedah itu ketika sebuah alam baru menanti dirimu

Anakku
kau yang pertamanya hadir menjadi harapan besar buat diriku
kau yang akan menjadi penggantiku saat tiadanya jasadku
kau yang akan menyambung nama, ketatapan dan kepercayaanku
begitulah juga nanti anakmu membawamu dan seterusnya sampai akhirnya nanti
kau yang akan menjaga ibumu
kau yang akan memelihara keluargamu
kau yang akan memperjuangkan agamamu


Anakku
taatilah ibumu dan laksanakanlah perintahnya
kerana keagungan dan ketinggian belas kasihnya
tiada mungkin dapat kau balas dan kau erti
segala jasa, masa dan tenaga yang dicurahkan
belum tentu kau itu mampu berbuat yang sama
sebelum adanya dirimu dan ketika wujudnya dirimu
tatkala lahirnya dirimu hinggalah sampai entah bila
ketahuilah sewaktu kecilmu
seperti juga kebiasaan lumrah yang namanya bayi itu
mahu susu juga menangis selepas diberi susu juga menangis
ketika bangun juga menangis mengantuk juga menangis
masa dimandikan dan dibersihkan juga menangis
dipakaikan baju dan diwangikan juga menangis
apa yang kau dimahukan juga kau menangis
tidak kira masa dan ketika tiada peduli tempat juga di mana
namun ibumu sangat setia dan patuhnya dia
melayan segala kemahuan, keperluan dan karenahmu
tanpa rasa keluh, penat, rimas atau kecewa
dan kadangkala agak ganas juga kau itu
cengkaman kukumu menerbitkan garis halus pada wajah ibumu
gigitan buasmu menerbitkan parut kecil dibahu ibumu
tapi ibumu gembira sahaja melihat dirimu
dia selalu tersenyum bangga melihat pencapaianmu
walau apa jua yang kau lakukan
menjadi pentas orkestra hiburan pada hatinya
kutahu amat besar harapannya padamu
janganlah sesekali kau itu dengan sengaja atau melalui alpa
mengingkari menghancur hatinya
dengan kedegilan keteguhan kepercayaanmu
yang belum pasti kebenarannya
dan untuk ibumu itu amat tidak perlu anakku
laksanakanlah sahaja walau tidak mungkin hati dan akalmu menerima
usah kau meragui atau mempertikai kata ibumu
menapaklah dengan teguh yakin mengikut nasihatnya
kerana tidak akan kau merugi walau apa pun
yang hakikat sebenarnya syurga pulangannya
dan kutahu bukan senang mudah seperti yang dikata
tapi laksanakanlah sahaja tanpa curiga

Anakku,
kerahkanlah segala apa yang ada padamu dan hargailah masa itu
kerana pada yang namanya masa itu terdapat sebuah rahsia besar
jika dimanfaatkan dan digunakan sebaiknya
kau akan beroleh keberuntungan
tuntutlah dari setiap ruang gedung ilmu itu
dengan ketajaman itu maka kau akan terpelihara
dengan rahmat itu akan kau punya darjat berbeza
di setiap akal-akal itu terdapat batasannya yang amat jelas
namun jika disatukan kekuatan fikiranmu itu dengan pegangan agamamu
maka akan terbitlah apa yang dinamakan insan dalam dirimu
yang akan membawa kebenaran dan kebaikan
juga menjahanamkan kemungkaran
muliakanlah peribadimu dan ketahuilah pada akalmu
akan ada perkara yang pada fikiranmu esok tidak dapat menerima
ketika kau bertemu dengan perkara itu
bukalah hatimu redhakanlah qada dan qadar itu
carilah cerah terang perkara itu
kerana setiap yang berlaku itu ada sebaliknya
yang tersirat tersimpul seolah mustahil dirungkai persoalan itu
namun kejayaan terang menantimu sekiranya kau berfikir

Anakku
di saat kau rasa jatuh hiba, hilang semua, tiada berguna
di waktu kau rasa usaha sia-sia tiada siapa-siapa
janganlah kau mengalah dan usahlah kau berhenti
teguhkanlah hatimu gerakkanlah akalmu dan mohonlah pada Tuhanmu
di setiap terlaksana sesuatu kejadian
adalah sebuah peluang juga sebuah latihan
yang akan membezakan ketetapan agama dan ketinggian fikiranmu
mengawal perasaan juga mengekang nafsu yang amat hebat dugaannya
menjadi bukti selama usia kematangan pengalamanmu
bawalah seluruh ahli keluargamu bersama
pimpinlah dengan kuat erat sesama kamu
taruhkanlah seluruh jiwa dan ragamu
jangan dibiar ada ruang walau seinci renggang
gagahkanlah ukhuwah itu dan lindunglah ia sebaiknya
dari sebarang ancaman kelemahan dan kerosakkan
jangan ada sebarang sangsi antara kamu
bersangka baiklah sesama kamu
sentiasa bersama berpadu ilmu
yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu
terimalah dan bersyukur di atas setiap kelebihan dan kekurangan
dan itulah yang terakhirnya selepas sudah kau berusaha

Anakku
ketahuilah olehmu bahawa dunia ini bukan segalanya
akan ada pastinya kehidupan itu selepas jasadmu tiada
segala yang kau lihat dan kau rasa di alam kini tidak kekal sifatnya
kesedihan dan kegembiraan itu sementara sifatnya
tetapkanlah agamamu, luruskanlah pemikiranmu dan teguhkanlah kepercayaanmu
janganlah kau ikut rasa hatimu tanpa tapisan akalmu
kerana akal itu adalah sebaik-sebaik anugerah hidupmu
manfaatkanlah ia dengan setiap keputusan yang jitu
gagahkanlah setiap langkahmu untuk membenarkan setiap yang hak
janganlah kau takut gentar kerana agama dan Tuhanmu ada bersamamu
dan tiada yang lebih baik daripada itu

Anakku
janganlah sesekali kau menzalimi yang mengasihanimu
malulah kau pada Tuhamu, ibubapamu, keluargamu dan bangsamu
sekiranya terbit walau sebesar zarah niat pesong di hatimu
sucikanlah pada setiap niatmu, hatimu dan gerak tubuhmu
kerana akan terbit implikasinya, akibatnya, tanggungannya
yang akan terlaksana di sini atau di sana atau di kedua-duanya
yang pasti akan tiba balasannya dan hanya masa menjadi penentu

Anakku
pesanku ini hanya sekadar pesan
tulisanku ini hanya sekadar tulisan
harapanku ini hanya sekadar harapan
moga kau menjadi insan hambaNya
moga kau beroleh segala kejayaan
moga kau mentaksir segala ilmu
moga kau mencapai semua cita-cita
moga kau dirahmati seumur hidupmu
moga kau diberi belas ketika matimu
moga kau diluaskan kuburmu
moga kita bersua kembali di kemudian hari
berbahagia bersama di dalam syurga Ilahi....


Wednesday, 25 July 2012

Isteriku

Demi Allah yang hidupku untukNya
tiada mungkin kemulianmu diragui
tiada mungkin kesabaranmu ditandingi
tiada mungkin kasih dan sayangmu dikhianati


Isteriku,

Kau menerima diriku ini
kecacatanku kelemahanku kekuranganku
keburukanku kehinaanku keegoanku
kemarahanku kebusukanku ketelanjanganku

Sekudus hati sesuci niat semurni naluri
pelengkap kesempurnaan keihklasan peribadimu
yang amat kerap kali tersinggung terguris terluka 
amat kecewa amat hampa dek kata-kataku dan perbuatanku

Dan kutahu ketika itu
air mata menitis membasahi pipimu
air hingus jatuh melayari bibirmu
sedu esak tangismu menjadi irama sadis pilu
kusam wajah menyesali diri
dan lantai itu tingkap itu siling itu menjadi saksi riwayat hidupmu 
bersuamikan diriku

Dan kutahu waktu itu
sinaran cahaya matamu senyuman manismu keceriaan watakmu
jadi hancur jatuh pecah kecai berderai
jadi malap jadi kelam jadi hitam 

Dan kutahu saat itu
ragamu zahirmu batilmu lemah longlai
tiada nyawa tiada dunia tiada apa

Kutahu kutahu kutahu


Isteriku,

Kukagumi sendimu yang lumrahnya kuat gagah perkasa
hingga tiada calit comot lumut dapat melukut di jubin-jubin jamban
melutut dan membongkok kau jahanamkan segala kekotoran
tanpa geli tiada jijik

Kusanjungi ketelitianmu yang dasarnya tepat jitu
hingga garis lengan baju dan seluarku seolah dapat membelah memotong
sebarang jisim fizikal sekiranya kena
tajam amat tajam

Kujunjungi firasatmu yang kebiasaannya tahu betul bagai ahli magis benar
di setiap duduk dan baringku ada sahaja apa-apa sahaja
kau melayani menyediakanku persis pemilik angkasa raja dunia
dengan bancuhanmu yang kadang panas kadang sejuk 
kadang berasap kadang berais bergantung cuaca dan masa
namun tidak pernah lupa menghulurku dengan penuh kasih sayang
dengan kederat lengan kudutmu yang dua itu


Isteriku,

Bagaimana mungkin bagiku mencoretkan mahupun melafazkan
nilai harga ketinggianmu yang memang benar pasti
aku sayang aku cinta aku tatang dan aku semuanya
tidak cukup dan tidak pernah hampir sedikitpun
mana kata mana madah mana warkah yang dapat menggambarkan
betapa aku memang amat sangat memerlukanmu
di setiap jaga dan tidurku dan sekiranya diizinkan
kuingin dan kumahu ke syurga hidup selamanya bersamamu


Isteriku,

Dan hari ini lewat sehari dari ulangtahun pernikahan kita
menyelusuri dugaan penuh cabaran
dua tahun sudah berlalu setelah kau sah menjadi isteriku
permaisuri hidupku cahaya hariku harapan perjalananku
kunikahimu dengan amat sederhananya
hingga dua kali kadi bertanya kerna tiada tunai yang menjadi mas kahwinmu
hanya sebentuk cincin pilihan hatimu 
tiada mewah tiada glamor tidak seperti resepsi kebanyakan Hawa
mahu hotel besar seribu bintang dan hendak persalinan sepenuh bilik
perlu pemandu kereta mewah dan ingin irama dimainkan langsung
walau kutahu nalurimu juga begitu
namun kiraku mampu dan kau juga tahu
sudah tentu lebih dari itu kuhadiahkan dan persembahkan kepadamu 
pelengkap tulang rusukku

Dan jika dibilang harinya pula
sudah dua ribu tujuh ratus tiga puluh sembilan hari kita bercinta
kau menerima lamaran cintaku walau baru sehari kita bertemu
itulah bukti keesaanNya dan apa yang dimahuNya maka jadilah ia
dan Jibril menjadi bukti cinta kita yang pasti akan adanya lagi
bukti demi bukti kesucian hubungan kita


Isteriku,

Semoga hidup kita beroleh keredhaanNya
jadilah kau isteri yang solehah dan taat seperti selalunya kau itu
yang sentiasa berdetik di jantungku
gunakan dan manfaatkanlah dari setiap kata nasihatku
walau secebis walau sebaris hatta bila datang waktu pemergianku
kumahu kau tahu
aku meredhaimu selama hayatku
aku halalkan segalanya kepadamu
aku ampuni segala kekurangamu
yang mana telah lepas berlalu mahupun yang bakal berlaku
dan aku sentiasa akan mendoakan syurga bagimu
Amin Ya Rabbal Alamin..

Thursday, 16 February 2012

Ya Allah Ya Tuhanku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Aku memohon keampunan daripadamu
Sejak lahirku sehingga matiku
Dan keampunan keluarga yang seagama denganku

Aku berselawat ke atas kekasihmu
Mengharapkan restu dan syafaat darinya
Dengan kemulian dan kebesarannya

Aku memohon rahmat dan ihsanmu
kau lindungilah aku
dari segala kesusahan, kemiskinan, kemalangan,
becana, wabak penyakit dan kesesatan
dari yang nyata mahupun yang berselindung

Dari segalah sifat Mughallazah
Dari segala sifat Mazmumah
dan perbuatan ahlinya

Kau lindungilah aku
Dari hasutan dan gangguan 
jin, syaitan dan iblis
Kau panjangkanlah umurku
Kau peliharalah kesihatan dan keselamatanku
Kau lindungilah tidurku
Kau berkatilah jagaku
Agar hidupku adalah untukmu

Aku memohon kebesaran dan keagunganmu
Kau kurniakanlah kepadaku
ketabahan, kekuatan, keimanan,
ketaqwaan,kegembiraan, kesyukuran & keinsafan
Kau jauhkanlah daripadaku
kesedihan, kebimbangan, ketakutan,
kesepian, kemarahan & ketakburan

Aku memohon kemurahanmu
Kau kurniakanlah kepadaku
segala kejayaan, kekayaan, ilmu dan
segala nikmat di dunia dan di akhirat
Kau permudahkanlah jalanku
Kau berkatilah urusanku
Kau capaikanlah cita-citaku
Kau kurniakanlah kepadaku
suatu kelebihan yang terbaik untukku

Aku memohon kesempurnaanmu
Kau peliharalah keluargaku
Kau pesatkanlah keturunanku
Keturunan yang soleh dan solehah
Yang bijak dan pandai
Yang sempurna akal dan fizikalnya
Yang mematuhi segala perintahmu dan perintahku
Yang menjauhi segala laranganmu dan larangaku
Yang sentiasa bertasbih dengan namamu
Yang sentiasa menyanjungi kekasihmu

Aku memohon belas kasihanmu

Kau matikanlah aku dalam iman dan islam
Kau lindungilah aku
Dari kesakitan dan keseksaan ajalku

Kau mudahkanlah matiku
Kau bahagiakanlah kuburku
Kau bangunkanlah aku
Bersama kaum yang mendapat syafaat kekasihmu
Kau mudahkanlah perhitunganku
Kau lipatgandakanlah amalanku
Kau hapuskanlah dosaku
Dengan redha dan rahmatmu
Aku memohon syurga seumur hidupku

Ya Allah Ya Tuhanku
Tuhan sekalian alam dan isinya
Kepadamulah aku bersembah
Kepadamulah aku memohon pertolongan
Tiada Tuhan selainmu
serta kemulian Muhammad kekasihmu
Dengan Kesucian, Kesempurnaan dan Keagunganmu
Dengan kelemahan, kealpaan dan kehambaanku
Kau terimalah amalanku
Kau kabulkanlah doaku
Sesungguhnya diriku dan hidupku
Tiada maknanya atas perkenanmu

Amin Ya Rabbal Alamin..